Saturday, October 3, 2009

petikan info dari universitipts

Belajar Membuka Kedai Buku dari Pustaka Munirah di Taman Cukai Utama Kemaman

Bagi tuan yang berminat membuka kedai buku indie, barangkali tuan perlu berkenalan dengan Tn. Saifuddin Awang, pemilik PUSTAKA MUNIRAH di Taman Cukai Utama, bandar Kemaman, Terengganu. Dapatkan tip-tip daripada beliau bagaimana menjalankan bisnes buku di bandar kecil.

Tn. Saifuddin adalah seorang jurutera dan beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran bidang percetakan buku menggunakan mesin berteknologi tinggi kerana beliau pernah lama bertugas di sebuah firma percetakan milik pelabur asing di Johor Baru.

PUSTAKA MUNIRAH adalah antara kedai buku milik usahawan Melayu yang dimasukkan dalam senarai "Pelanggan Emas" PTS.

Kedai-kedai yang tersenarai sebagai Pelanggan Emas PTS mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

1. Mereka komited mem-promote buku-buku PTS.

2. Rekod disiplin pembayarannya sangat baik.

3. Mempunyai standing-order dengan PTS. (Tidak banyak kedai buku Melayu ditawarkan standing-order oleh PTS)

4. Jumlah pesanan bulanan yang semakin meningkat.

Ada beberapa ciri pada PUSTAKA MUNIRAH yang bagus diambil perhatian:

1. Kedai buku PUSTAKA MUNIRAH ini tidak terletak di tengah-tengah bandar Kemaman. Ia terletak di deretan kedai dalam taman perumahan, iaitu Taman Cukai Utama. Lazimnya, kedai buku di luar pusat bandar sukar survive.

2. Kedai PUSTAKA MUNIRAH ini kecil sahaja tetapi berhawa dingin, dan bisnes utamanya adalah menjual alat tulis.

3. Ia juga menyewakan novel. Selain itu ia menjual buku. Lapan puluh (80%) buku yang dipamerkan adalah buku-buku PTS.

4. Kedai ini tidak menggunakan rak yang khusus dibuat untuk buku. Ia menggunakan rak barangan biasa sahaja. Jadi, dari sudut seni-display, kedai ini tidak impresif.

5. Pihak pengurusan PUSTAKA MUNIRAH pandai memilih judul-judul buku yang sesuai dengan kehendak pembeli buku di bandar Kemaman. Ia faham apa keperluan masyakarat Kemaman.

6. PUSTAKA MUNIRAH menggunakan maklumat jualan buku PTS di MPH Alamanda sebagai panduan memilih judul-judul yang dipesan. Buku-buku terbaru PTS semuanya ada dalam kedai itu.

7. Perolehan terbesar PUSTAKA MUNIRAH bukan datang daripada pelanggan yang masuk kedai membeli buku untuk bacaan peribadi. Sebaliknya, ia datang daripada pesanan supply daripada sekolah-sekolah, dan perpustakaan di seluruh daerah Kemaman.

Pemilik PUSTAKA MUNIRAH seorang yang memiliki bakat 'PR' yang sangat tinggi, menyebabkan beliau dapat menjalin hubungan baik dengan guru-guru dan pegawai-pegawai kerajaan di daerah Kemaman.

Bagi tuan yang serius mahu membuka kedai buku indie, elok sangatlah saudara pergi ke Kemaman dan lawati PUSTAKA MUNIRAH serta berkawanlah dengan Tn. Saifuddin Awang!

No comments:

Post a Comment