Saturday, February 20, 2010

Petikan Info dari Universiti PTS.

Cabaran Membuka Laut Biru Novel Fantasi: Mengubah Prejudis Negatif Ibu Bapa dan Guru


Kerja-kerja membuka pasaran Laut Biru komik yang syariah-compliant mempunyai banyak faktor yang serupa dengan usaha membuka Laut Biru novel-novel fantasi yang syariah-compliant.


Antara faktor yang serupa adalah prejudis ibu bapa dan guru-guru.


Pada umumnya ibu bapa dan guru-guru mempunyai persepsi dan prejudis negatif terhadap buku-buku komik dan cerita-cerita yang bertemakan fantasi. Oleh yang demikian mereka tidak menggalakkan anak-anak ataupun murid mereka menggemari buku-buku fantasi.


Bagi mengubah prejudis itu kita memerlukan strategi serampang 3 mata. Ketiga-tinganya dijadikan langkah yang perlu diberikan tumpuan:


(i) Para penulis novel fantasi perlu memasukkan informasi yang berkualiti dalam karya-karya mereka supaya karya itu mempunyai nilai-nilai pendidikan.


Ini penting kerana ibu bapa dan guru-guru sangat mementingkan nilai-nilai pendidikan dalam bahan-bahan bacaan anak-anak dan murid mereka.


Bagi ibu bapa, wang yang dikeluarkan bagi membeli buku hendaklah menguntungkan pelajaran anak-anak mereka di sekolah.


Manakala bagi guru-guru pula mereka hanya akan memilih buku-buku untuk pusat sumber sekolah selagi pada pandangan mereka buku-buku itu membantu meningkatkan prestasi akademik murid-murid.


(ii) Jabatan marketing perlu memberikan fokus pada aspek nilai pendidikan yang terkandung dalam buku-buku fantasi itu apabila menulis kopi untuk diterbitkan dalam (a) iklan berbayar, (b) katalog bercetak, (c) katalog internet, dan (d) dalam media sosial seperti Face Book, dan bahan-bahan promosi lain.

(iii) Para editor perlu memasukkan aspek nilai pendidikan pada blurp buku-buku fantasi yang diterbitkan.


Inilah faktor yang menyebabkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) memainkan peranan kritikal bagi mengubah persepsi negatif ibu bapa dan guru-guru terhadap genre fantasi.


Baik ibu bapa mahupun guru-guru, mereka sedar penggunaan BMT dapat membantu anak-anak dan murid sekolah meningkatkan prestasi subjek Bahasa Melayu mereka. Untuk itu sahaja pun mereka sedia mengeluarkan wang bagi membeli buku-buku fiksyen fantasi.