Sunday, November 22, 2009

Aspek Kajian Sastera

Sinopsis
Ringkasan cerita lebih kurang 100 -150 patah perkataan.
Mengandungi huraian cerita mengikut urutan masa berdasarkan plot.

Tema dan Persoalan
Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau tidak langsung (implisit).
Persoalan bermaksud perkara-perkara sampingan atau isi yang lebih kecil yang ada hubungannya dengan tema sesuatu karya.



Watak dan Perwatakan
Watak ialah pelaku atau tokoh dalam sesuatu karya yang menggerakkan cerita dengan cara berinteraksi sesama watak dan alam.
Perwatakan pula ialah pelukisan tentang watak dari aspek luaran dan dalaman.
Pelukisan watak itu boleh dilakukan secara langsung atau secara tidak langsung olen pengarang melalui aksi, tutur kata, atau watak-watak berkenaan.

Dalam sesuatu cerita lazimnya terdapat istilah yang berkaitan dengan aspek watak, iaitu watak utama, watak sampingan, watak bundar, watak pipih, watak dinamik, watak statik, protagonis dan antagonis.

Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya dan ideologi, serta gambaran perasaan seseorang atau watak itu.

Watak pipih lazimnya tidak kompleks, tidak berkembang, dan tidak memeranjatkan pembaca.

Watak bulat amat menarik kerana watak jenis ini menuju ke pelbagai arah sama ada menambah pengalamannya, mengubah sikapnya, dan fizikalnya.
Watak dinamik ialah watak yang mengalami pelbagai konflik, persoalan, dan permasalahan dari awal hingga akhir.

Watak statik atau kaku tidak mengalami apa-apa perubahan, perkembangan, dan tidak bergerak.

Watak yang berperanan amat penting disebut watak utama. Watak yang kurang penting dalam cerita disebut watak sampingan.

Watak protagonis ialah watak utama dalam sesebuah cereka. Watak ini tidak semestinya orang yang baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin diktator, koruptor, penjenayah, dan sebagainya. Watak antagonis menjadi penentang atau lawan kepada watak protagonis.

Petikan Info dari UniversitiPTS

Struktur Plot Surah Yusuf

Salah satu isu yang lazimnya menjadi kesukaran bagi penulis-penulis baru adalah bagaimana hendak menyusun plot cerita. Dalam erti kata lain, apakah episod yang hendak digunakan bagi membuka cerita?


Dalam model novel Islami yang didasarkan pada surah Yusuf, susunan plot adalah mudah, iaitu berdasarkan kronologi kejadian. Kejadian yang awal diletakkan di depan, dan kejadian terakhir diletakkan di hujung novel.


Dalam surah Yusuf, urutan peristiwa berkembang selari dengan peningkatan usia Nabi Yusuf. Peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa Nabi Yusuf masih kecil diceritakan lebih dahulu, diikuti oleh peristiwa-peristiwa apabila beliau menjadi pemuda dewasa, dan akhirnya peristiwa-peristiwa semasa beliau menjadi menteri perbendaharaan Mesir.


Plot cerita dalam surah Yusuf tidak disusun culang-caling, sebentar melompat ke hadapan, sebentar melompat undur ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Tidak ada penggunaan teknik flashback ataupun flash-forward ataupun parallel plot.


Berikut adalah urutan peristiwa dalam kisah Nabi Yusuf.

1. Si kecil Yusuf memberitahu ayahnya, Nabi Yaakub, dia bermimpi 11 bintang, matahari dan bulan tunduk kepadanya.

2. Ayahnya memberitahu Yusuf supaya merahsiakan mimpinya itu daripada pengetahuan abang-abangnya.

3. Abang-abang Yusuf berpakat hendak membunuh Yusuf.

4. Abang-abang Yusuf memujuk ayah mereka supaya membenarkan Yusuf ikut pergi bermain2.

5. Abang-abang Yusuf mencampakkan Yusuf ke dalam perigi.

6. Abang-abang Yusuf pulang dengan membawa baju Yusuf yang dilumuri darah palsu.

7. Sekumpulan pengembara lalu dan menghulurkan timba ke dalam perigi. Yusuf bergantung pada tali timba.

8. Yusuf dijual di pasar sebagai hamba.

9. Yusuf dibeli oleh al-Aziz dan dibawa pulang lalu diserahkan kepada isterinya, Zulaikha, supaya dijaga.

10. Yusuf dewasa dan isteri majikannya jatuh cinta kepadanya.

11. Nabi Yusuf diperangkap oleh Zulaikha supaya masuk kamarnya.

12. Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.

13. A-Aziz tiba-tiba muncul di depan pintu.

14. Zulaikha berdusta kepada al-Aziz.

15. Saksi memberitahu al-Aziz tentang di mana koyaknya baju Nabi Yusuf.

16. Zulaikha mengadakan jamuan untuk wanita-wanita Mesir.

17. Wanita-wanita Mesir terpotong jari mereka sendiri apabila terpandang Nabi Yusuf.

18. Al-Aziz berjaya memenjarakan Nabi Yusuf.

19. Di dalam penjara, Nabi Yusuf berkenalan dengan 2 orang rakan banduan.

20. Nabi Yusuf mentakbirkan mimpi 2 orang banduan itu.

21. Banduan pertama dihukum salib. Banduan kedua dibebaskan. Nabi Yusuf meminta banduan kedua menceritakan nasibnya tetapi banduan itu terlupa.

22. Raja Mesir bermimpi.

23. Banduan kedua teringat kpd Nabi Yusuf lalu pergi menemuinya lalu meminta Nabi Yusuf mentakbirkan mimpi Raja.

24. Nabi Yusuf menerangkan makna mimpi Raja kepada bekas banduan itu.

25. Banduan menerangkan takbir mimpi yang diberi oleh Nabi Yususf kepada Raja.

26. Raja Mesir menyuruh Nabi Yusuf dibawa ke hadapannya.

27. Nabi Yusuf bertanya apa khabar perempuan2 yang tangannya luka.

28. Raja Mesir menyiasat apa yang sebenarnya terjadi.

29. Zulaikha mengaku dia bersalah dan Nabi Yusuf tidak berdosa.

30. Nabi Yusuf memaafkan Zulaikha dan al-Aziz.

31. Raja Mesir melantik Nabi Yusuf menjadi penasihat.

32. Nabi Yusuf meminta dia dilantik menjadi penjaga Perbendaharaan negeri Mesir.

33. Kemarau panjang berlaku sebagaimana yang ditakbirkan dalam mimpi Raja Mesir.

34. Abang-abang Nabi Yusuf datang ke Mesir menemuinya dengan tujuan hendak membeli makanan. Ayah mereka tidak membenarkan Bunyamin ikut pergi.

35. Nabi Yusuf meminta abang-abangnya datang lagi dengan membawa Bunyamin, kalau tidak mereka tidak boleh membeli makanan lagi.

36. Nabi Yusuf menyuruh pembantu memasukkan barang tukaran makanan ke dalam buntil makanan abang-abangnya.

37. Abang-abang Nabi Yusuf memujuk ayahnya supaya membenarkan Bunyamin ikut mereka ke Mesir pada masa akan datang.

38. Mereka membuka buntil makanan dan mendapati barang tukaran mereka dikembalikan oleh Nabi Yusuf.

39. Abang-abang Nabi Yusuf bersumpah akan menjaga Nabi Bunyamin.

40. Abang-abang Nabi Yusuf pergi ke Mesir membawa Nabi Bunyamin.

41. Nabi Yusuf memperkenalkan dirinya kepada Nabi Bunyamin sahaja.

42. Nabi Yusuf menyuruh dimasukkan piala minum raja dalam buntil unta Nabi Bunyamin.

43. Nabi Yusuf memeriksa buntil Nabi Bunyamin dan menjumpai piala itu.

44. Nabi Yusuf menghukum Nabi Bunyamin ditinggalkan di Mesir.

45. Abang-abang Nabi Yusuf merayu salah seorang daripada mereka mengambil tempat Nabi Bunyamin tetapi ditolak oleh Nabi Yusuf.

46. Abang sulung Nabi Yusuf tidak mahu pulang dan menyuruh yang lain sahaja pulang.

47. Abang-abang Nabi Yusuf yang lain pulang dan melaporkan apa yang berlaku kepada ayah mereka.

48. Ayah Nabi Yusuf menjadi buta disebabkan banyak menangis.

49. Ayah Nabi Yusuf menyuruh anak-anaknya pergi semula ke Mesir dan mengintip apa cerita Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin.

50. Abang-abang Nabi Yusuf pergi menemuinya bagi membeli makanan lagi.

51. Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya kepada abang-abangnya.

52. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku mereka berdosa.

53. Nabi Yusuf memaafkan abang-abangnya.

54. Nabi Yusuf menyuruh mereka pulang dengan membawa pakaiannya dan menyuruh supaya pakaiannya itu disapukan pada muka ayahnya.

55. Abang-abang Nabi Yusuf belum tiba tetapi ayahnya sudah tercium bau Nabi Yusuf.

56. Baju Nabi Yusuf disapukan pada muka ayahnya dan dia dapat melihat semula.

57. Abang-abang Nabi Yusuf meminta ampun dariada ayahnya.

58. Ayah Nabi Yusuf mengampunkan anak-anaknya.

59. Abang-abang Nabi Yusuf membawa ayah dan ibu mereka ke Mesir berjumpa Nabi Yusuf.

60. Nabi Yusuf mengajak ayah dan ibunya duduk di sisinya. Mereka semua tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf. (Inilah takbir mimpi Nabi Yusuf pada pembukaan cerita, yakni 11 bintang adalah 11 orang adik beradiknya, matahari adalah ayahnya dan bulan adalah ibunya.)


Dalam surah Yusuf, penutup cerita mempunyai kaitan langsung dengan pembukaan cerita. Cerita dibuka dengan mimpi dan diakhiri dengan mimpi itu menjadi realiti.


Plot surah Yusuf disusun umpama kaitan mata-mata rantai pada seutas kalung, ataupun ia bulat umpama ular yang menggigit ekornya.

Petikan Info dari UniversitiPTS

Cerita Lawan Teknik Penulisan


Kursus-kursus penulisan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan persatuan-persatuan penulis amat condong kepada mengajar para peserta tentang teknik-teknik penulisan.

Jika saudara mengikuti kursus penulisan kreatif anjuran PTS, saudara akan dapati PTS tidak menekankan teknik-teknik penulisan. Sebaliknya PTS menekankan dua perkara:

1. Proses mencipta cerita
2. Isi kandungan cerita

Dalam kursus PTS, perkara yang menjadi isu besar adalah 'cerita' (story). Jadi kita bertanya 'Apa ceritanya?'. Kita berpandangan, cerita adalah lebih penting daripada teknik penulisan. Oleh sebab itu PTS mementingkan latihan mencipta cerita.

Adakah saudara mempunyai cerita yang menarik? Hantarkan sinopsis cerita saudara kepada kita. Apabila kita berminat dengan cerita itu, kita akan panggil saudara mengikuti kursus PTS di mana saudara akan dilatih menuliskan karya kreatif saudara menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf.

Friday, November 20, 2009

Petikan Info dari UniversitiPTS


Cetakan Pertama: Dari 2,000 Naskhah Kini 15,000 Naskhah

Pasaran novel-novel ramaja semakin hari semakin menggebu-gebu peningkatan jualannya.

PTS mula meneroka Laut Biru sastera remaja dalam Bahasa Melayu 4 tahun yang lalu.



Sewaktu PTS mula-mula memasuki pasaran sastera remaja, kedai-kedai buku utama tidak mahu menjual novel-novel remaja dalam Bahasa Melayu.

Apabila akhirnya mereka mahu cuba menjual, tidak ada rak khas diberikan untuk mempamerkan novel-novel remaja dalam Bahasa Melayu. Novel-novel remaja yang mula-mula diterbitkan oleh PTS diletakkan bersama-sama buku kanak-kanak belajar mewarna dan menulis!

Sukarnya menjual sastera remaja menyebabkan PTS hanya berani mencetak 2 ribu naskhah sahaja. Itu pun mengambil masa yang lama bagi menghabiskan stok yang ada.

Bukan salah kedai buku apabila sastera remaja dalam Bahasa Melayu tidak diiktiraf sebagai kategori tersendiri yang diasingkan daripada buku kanak-kanak.

Memang sehingga 4 tahun yang lalu tidak ada penerbit buku Melayu yang komited menerbitkan sastera remaja. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri telah menutup bahagian penerbitan buku-buku remajanya.

Pada masa ini rak sastera remaja dalam Bahasa Melayu diletakkan di hadapan pintu masuk kedai-kedai buku. Bagi sesetengah pengarang PTS yang sudah mempunyai banyak peminat, cetakan pertama karya mereka dinaikkan kepada 15 ribu naskhah.

Thursday, November 19, 2009

Standard Dalam Bidang Baru Perlu Terus Dikenalpasti Dan Dibangunkan

BANGI, 19 Nov (Bernama) -- Jabatan Standard Malaysia perlu mengenalpasti dan membangunkan standard dalam bidang-bidang baru terutamanya yang mempunyai nilai komersial yang tinggi secara berterusan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi menyokong hasrat negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi.

"Antara bidang yang semakin mendapat perhatian dalam pembangunan standard di Malaysia ialah Halal, Nanoteknologi, bioteknologi, keselamatan maklumat, keselamatan makanan, alat-alat peranti perubatan, produk-produk dalam sektor binaan dan pemuliharaan sarang burung walit," katanya pada majlis Anugerah Standard dan Akreditasi Kebangsaan di sini pada Khamis.

Katanya bagi menyokong dasar kerajaan ke arah pembangunan ekonomi dan sosial negara menjelang tahun 2020, Strategi dan Pelan Tindakan Standard Kebangsaan telah dirangka dengan menetapkan keperluan untuk membangunkan sejumlah 6,000 Standard Malaysia yang relevan kepada pasaran semasa.

"Saya difahamkan sehingga 30 September lalu, sebanyak 5,655 (94.25 peratus) Standard Malaysia telah berjaya dibangunkan dalam pelbagai bidang.

"Ini bermakna Jabatan Standard Malaysia hanya memerlukan sekurang-kurangnya 345 standard lagi bagi mencapai sasaran tersebut," katanya.

Pada majlis itu, Maximus menyampaikan anugerah kepada sembilan penerima Anugerah Standard dan Akreditasi pada tahun ini, terdiri daripada individu-individu yang banyak memberikan sumbangan dalam aktiviti standardisasi dan akreditasi negara.

Beliau turut menyampaikan sijil akreditasi kepada 37 makmal dan tiga badan pensijilan yang berjaya diakredit di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia dan Skim Akreditasi Badan Pensijilan.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Standard Malaysia dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) bagi mempertingkatkan hubungan kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan antara kedua-dua agensi.

-- BERNAMA

Saturday, November 14, 2009

Petikan Info dari UniversitiPTS

Kementerian Pelajaran akan Menamatkan Kurikulum KBSR dan KBSM yang Ada Sekarang
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memperkenalkan "Kurikulum Transformasi" bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang digunakan sekarang. Kenyataan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimudddin, kepada para penerbit buku pada suatu majlis taklimat baru-baru ini.

Perbezaan yang paling besar antara KBSR & KBSM dengan Kurikulum Transformasi adalah pada isu peperiksaan. Dalam Kurikulum Transformasi, tekanan pada peperiksaan akan dikurangkan. Ini bermakna, bagi para penerbit, apabila Kurikulum Transformasi dilaksanakan, mereka akan kehilangan bisnes menerbitkan buku-buku teks dan buku-buku ulangkaji peperiksaan.

Sebaliknya, permintaan bagi buku-buku pengkayaan pelbagai subjek akan meningkat. Maksudnya, sekolah akan memerlukan buku-buku sains, matematik dan lain-lain, yang ditulis bukan sebagai buku teks, tetapi sebagai buku rujukan, buku bacaan umum dan juga dalam bentuk buku-buku cerita.

Petikan Info dari UniversitiPTS

Menggunakan Kata Sendi ‘dengan’ Dengan Betul
Kata sendi 'dengan' mempunyai beberapa makna:



A. Menunjukkan 'alat kerja'

a. Saya memotong kuih dengan pisau. (BETUL)

b. Saya berdoa dengan membaca ayat Khursi. (BETUL)



B. Menunjukkan 'disertai'

a. Dia membuka sampul surat dengan hati yang berdebar-debar. (BETUL)

d. Dengan sukacita saya membuka majlis ini. (BETUL)

c. Dia datang dengan lagak berani. (BETUL)



C. Menunjukkan 'bersama-sama'

a. Saya belajar mengaji dengan adik saya. (BETUL)

b. Dia datang dengan isterinya. (BETUL)


NOTA: Di bawah ini contoh kata sendi 'dengan' yang salah tempat:

a. Penulis muda itu belajar menulis dengan Puan Ainon (SALAH)

b. Penulis muda itu belajar menulis daripada Puan Ainon (BETUL)

c. Saya belajar sembahyang dengan Ustaz Azli (SALAH)

d. Saya belajar sembahyang daripada Ustaz Ali (BETUL)

Tuesday, November 10, 2009

Petikan Info dari Universitipts

Panduan Cara yang Betul Penulis Mempromosi Dirinya dan Bukunya dalam Face Book

Face Book adalah media yang sangat bagus digunakan oleh para penulis buku bagi mempromosi buku-buku mereka.

Mempromosi buku perlu dilakukan serupa sebagaimana mempromosikan produk-produk lain, baik perkhidmatan (seperti polisi insurans dll) mahupun barangan (seperti kereta dll), iaitu tidak boleh dibuat secara direct.

Contoh promosi secara direct adalah menampal cover buku-buku kita, baik di HOME mahupun di WALL rakan-rakan. Cara begini tidak persuasif, justeru tidak efektif. Cara begitu membuatkan kita dilihat sebagai tidak profesional, justeru buku kita juga tidak berkualiti tinggi. Dalam bahasa yang mudah, cara itu dipersepsi sebagai amaturis.

Dalam marketing gaya-FB, penulis perlu menjadikan dirinya harta sosial yang berharga di mata rakan-rakan. Maksudnya nilai-sosial diri si penulis itu tinggi sebab posting-posting yang ditulisnya bernilai tinggi. Rakan-rakan FB suka membacanya, dan mereka tertunggu-tunggu apa lagi yang akan ditulis seterusnya.

Di bawah ini adalah contoh posting beliau yang ditulis hari ini:

"Abu Hurairah adalah sahabat Nabi Muhammad yang paling banyak merekodkan Hadis. Jumlahnya 7 ribu lebih. Sebanyak 367 buah Hadis yang direkodkan dalam 100 hari. Lebih dari 3 buah Hadis direkodkannya dalam satu hari. Di dalam enam kitab Hadis yang mashsyur, sekitar 10 buah Hadis sahaja yang direkodkan oleh Abu Hurairah secara sendirian (iaitu Hadis yang tidak direkodkan oleh mana-mana sahabat yang lain).

Beliau adalah Tn. Ainol Khusyairi. Beliau sudah menerbitkan 3 buah judul buku yang memperkenalkan hadith-hadith menggunakan cerita-cerita ringkas dan ditulis sebagai antologi. Buku-buku beliau laku dalam pasaran dan digemari oleh semua golongan usia, baik remaja mahupun dewasa.

Posting seperti di atas, apabila dilakukan secara konsisten, dapat menaikkan nilai-sosial beliau kerana:

(1) Posting itu mengandungi maklumat baru yang jarang diketahui oleh mereka yang bukan pakar hadith. Justeru nilai informasinya tinggi.

(2) Posting itu hanya menerangkan fakta semata-mata. Ayat-ayat informasi digemari oleh pembaca yang perpelajaran tinggi.

(3) Posting itu tidak mengandungi ayat-ayat yang meng-guru-i rakan-rakan FB.

Dengan menulis posting-posting informatif seperti itu, kredibiliti beliau meningkat, lama kelamaan rakan-rakan FB ingin tahu siapa beliau, lalu mereka membuka profail, lalu barulah mereka dapat melihat gambar cover buku-buku beliau, dan latar belakang beliau.... rupa-rupanya beliau lulusan dari Jordan.

NOTA: Banyak rakan-FB apabila menulis posting, mereka semata-mata menyalin terjemahan ayat-ayat Quran dan hadith-hadith. Cara begitu tidak efektif, dan itu terbukti kerana tidak ada sesiapa yang menulis feedback pada posting itu. Malah, dibaca orang pun belum tentu. Posting yang tidak dibaca membuktikan posting itu tidak mempunyai nilai pada mata orang yang tidak mahu membacanya. Posting yang tinggi nilainya adalah apabila menerima banyak feedback, dan bukan hanya banyak, malah feedback itu pula panjang-panjang. Apatah lagi jika ada pula dalam feedback itu ucapan terima kasih dan penghargaan.

Thursday, November 5, 2009

Petikan Info dari UniversitiPTS

Pasaran Buku Motivasi Kini Sudah Matang dan Menjadi Laut Merah

Nama Parlindungan Marpaung mula-mula dikenali di Malaysia oleh peminat buku motivasi apabila PTS menerbitkan bukunya yang pertama "Setengah Berisi Setengah Kosong" yang mendapat sambutan baik dalam pasaran dan sudah beberapa kali diulangcetak.

Bukunya yang terbaru "Mencari Makna Hidup" sedang dalam proses percetakan dan akan segera dapat dibeli di kedai-kedai buku di seluruh negara.

Parlindungan Marpaung adalah seorang ahli psikologi dan nama beliau besar di Indonesia. Atas undangan PTS, beliau sudah 2 kali datang ke Pesta Buku Kuala Lumpur bagi mempromosi buku beliau.

Nama PTS boleh dikatakan sinonimus dengan buku-buku motivasi. Ini disebabkan sewaktu mula beroperasi pada tahun 2000, PTS memasuki pasaran dengan menerbitkan banyak judul-judul motivasi.

Memang pada masa itu pasaran buku motivasi adalah Laut Biru. Hasil daripada strategi itu, PTS berjaya menjual banyak judul motivasi dan melahirkan banyak nama-nama baru dalam bisnes ceramah motivasi, yang kini sangat terkenal, seperti Ahmad Fadzli Yusof dan Amin Idris.

Kejayaan PTS membuka pasaran buku-buku motivasi mendorong banyak penerbit lain menerbitkan buku-buku motivasi karya penulis tempatan. PTS juga terus menerima banyak inkuiri daripada individu-individu yang ingin menulis buku motivasi untuk diterbitkan oleh PTS.

Selepas hampir 10 tahun menerbitkan buku-buku motivasi, data jualan PTS, dan dari laporan yang diperoleh daripada petugas di kedai-kedai buku, trend menunjukkan pasaran buku-buku motivasi yang basik-basik isinya sudah matang, yakni sudah tepu, oleh itu jualannya tidak memberangsangkan lagi.

Tuan Zain Aziz, timbalan pengurus jabatan sales PTS yang menganalisis data jualan melaporkan trend kejatuhan jualan buku-buku motivasi mula dikesan semenjak tahun 2006. Itulah sebabnya, semenjak itu jabatan editorial PTS sangat teliti apabila memilih manuskrip bertemakan motivasi.

Pada masa ini hanya buku-buku motivasi yang isinya betul-betul 'kuat' dan 'solid' sahaja yang bertahan dalam pasaran.

Wednesday, November 4, 2009

Petikan Info dari UniversitiPTS

Visi, Misi dan Dasar-dasar Korporat PTS

Setiap bisnes mempunyai dasar bisnes. Ada peniaga yang tidak menceritakan dasar bisnes mereka secara terang-terangan kepada kakitangannya, manakala ada yang melakukan hal itu secara rasmi.

PTS menerangkan secara rasmi kepada staf dasar-dasar bisnesnya. Tugas ini dilakukan oleh Akademi Latihan Penerbitan PTS (Akademi-PTS).

1. Visi PTS: Menjadi syarikat media ilmu yang sahamnya diperdagangkan di papan pertama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

2. Misi PTS: Menjadi penerbit bahan-bahan ilmu yang memandaikan bangsa.

3. Dasar perniagaan PTS: Mengamalkan urusniaga yang (i) bebas-rasuah dan (ii) syariah-compliant, (iii) membolehkan rakan-rakan niaganya sama-sama membuat keuntungan.

4. Dasar editorial PTS: Menerbitkan bahan-bahan bacaan yang (i) memandaikan bangsa, (ii) syariah-compliant dan (iii) menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

5. Budaya kerja PTS adalah:

(i) Mengutamakan kemahiran kooperatif dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,

(ii) Mengutamakan kepentingan, kebaikan dan kebajikan pembeli dan pembaca produk-produk PTS,

(iii) Menghargai, memupuk dan melindungi bakat-bakat yang dimiliki oleh setiap anggota staf dan karyawan PTS,

(iv) Mengongsikan dan mengagihkan dengan adil keuntungan perniagaan dengan pemilik saham, staf, karyawan, agen dan pembeli produk-produk PTS,

(v) Membantu dan menolong penerbit-penerbit lain membangun dan mengembangkan bisnes mereka.