Thursday, November 5, 2009

Petikan Info dari UniversitiPTS

Pasaran Buku Motivasi Kini Sudah Matang dan Menjadi Laut Merah

Nama Parlindungan Marpaung mula-mula dikenali di Malaysia oleh peminat buku motivasi apabila PTS menerbitkan bukunya yang pertama "Setengah Berisi Setengah Kosong" yang mendapat sambutan baik dalam pasaran dan sudah beberapa kali diulangcetak.

Bukunya yang terbaru "Mencari Makna Hidup" sedang dalam proses percetakan dan akan segera dapat dibeli di kedai-kedai buku di seluruh negara.

Parlindungan Marpaung adalah seorang ahli psikologi dan nama beliau besar di Indonesia. Atas undangan PTS, beliau sudah 2 kali datang ke Pesta Buku Kuala Lumpur bagi mempromosi buku beliau.

Nama PTS boleh dikatakan sinonimus dengan buku-buku motivasi. Ini disebabkan sewaktu mula beroperasi pada tahun 2000, PTS memasuki pasaran dengan menerbitkan banyak judul-judul motivasi.

Memang pada masa itu pasaran buku motivasi adalah Laut Biru. Hasil daripada strategi itu, PTS berjaya menjual banyak judul motivasi dan melahirkan banyak nama-nama baru dalam bisnes ceramah motivasi, yang kini sangat terkenal, seperti Ahmad Fadzli Yusof dan Amin Idris.

Kejayaan PTS membuka pasaran buku-buku motivasi mendorong banyak penerbit lain menerbitkan buku-buku motivasi karya penulis tempatan. PTS juga terus menerima banyak inkuiri daripada individu-individu yang ingin menulis buku motivasi untuk diterbitkan oleh PTS.

Selepas hampir 10 tahun menerbitkan buku-buku motivasi, data jualan PTS, dan dari laporan yang diperoleh daripada petugas di kedai-kedai buku, trend menunjukkan pasaran buku-buku motivasi yang basik-basik isinya sudah matang, yakni sudah tepu, oleh itu jualannya tidak memberangsangkan lagi.

Tuan Zain Aziz, timbalan pengurus jabatan sales PTS yang menganalisis data jualan melaporkan trend kejatuhan jualan buku-buku motivasi mula dikesan semenjak tahun 2006. Itulah sebabnya, semenjak itu jabatan editorial PTS sangat teliti apabila memilih manuskrip bertemakan motivasi.

Pada masa ini hanya buku-buku motivasi yang isinya betul-betul 'kuat' dan 'solid' sahaja yang bertahan dalam pasaran.