Monday, February 21, 2011

Siri Jerayawara Buku

Assalamualaikum buat teman-teman yang dirindui.

Terlalu lama saya tidak mengemas kini blog Freedom Wahyu. Mohon maaf atas tumpuan saya yang beralih arah pada laman sosial yang masih digilai ramai iaitu Facebook.

Walau bagaimanapun, saya masih tidak melupakan blog saya ini. Setiap kali, melawat blog ini, saya terfikir apakah pengisian paling bermanfaat buat para pembaca sekalian.

Sudah tentu, pada tahun 2011 ini, banyak pengalaman yang mahu saya kongsikan di sini.

Syukur alhamdulillah, tahun 2011 membawa saya ke arah satu perjalanan hidup yang penuh cabaran. Saya diberi amanah menjadi Eksekutif Jualan di dalam sebuah anak syarikat yang baru diwujudkan. Nama anak syarikat tersebut ialah PTS Bookcafe Sendirian Berhad, nombor pendaftaran 924422-P. PTS Bookcafe Sdn Bhd adalah anak syarikat dalam syarikat induk PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Jenama PTS yang semakin dikenali ramai, adalah syarikat penerbitan buku bahasa Melayu nombor 1 di Malaysia.

Saya rasa sangat bersyukur apabila diberi peluang bekerja dan menimba seberapa banyak pengalaman di dalam syarikat PTS.

Bagi meneruskan celoteh saya, tugas sebagai Eksekutif Jualan di PTS Bookcafe Sdn Bhd boleh dibahagi pada dua sasaran utama iaitu jualan secara online dan offline.

Jualan secara online ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi semasa melayan kehendak pembeli. Kita sendiri apabila menjadi seorang pembeli sudah tentu mengharapkan mutu perkhidmatan yang cekap, pantas dan berhemah. Sikap-sikap begini mesti menjadi keutamaan ketika melayan kehendak pembeli buku secara online.

Lain pula cara kerja ketika melakukan jualan secara offline.

Pembeli buku offline adalah sebagaimana kita melayan pembeli-pembeli buku di kedai-kedai buku. Pembeli akan datang sendiri ke ruang pameran Bookcafe di ibu pejabat PTS di Dolomite Business Park, Batu Caves.

Pembeli offline juga terdiri daripada individu yang datang sebagai agen atau kontraktor buku yang membeli buku-buku PTS secara pukal. Mereka membeli untuk dijual kembali pada perpustakaan dan pusat sumber sekolah-sekolah.

Saya diberi tugas dalam menguruskan unit pameran bagi pembeli buku offline.

Menguruskan acara pameran dan jualan di pelbagai lokasi tidak semudah yang dilihat oleh teman-teman. Sebagai seorang peminat buku dan tegar membeli buku di tapak-tapak pameran, sudah tentu kita dapat melihat ada seorang atau dua orang petugas pameran buku. Seorang menjaga dan memantau keadaan buku dan seorang lagi menjaga kaunter pembayaran. Suasana begini sangat mudah dilihat.

Ada penjual, ada pembeli dan ada barang yang diniagakan. Sangat mudah bukan?

Proses menjual dan membeli itu memang mudah bagi diri saya dan teman-teman sekalian.

Latar belakang saya dan pengalaman lalu sudah membiasakan diri saya dengan aktiviti menjual. Mempromosikan barangan dan seterusnya menutup jualan dengan hasil transaksi.

Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila saya sendiri menguruskan proses sebelum, semasa dan selepas pameran.

Sebelum satu-satu pameran itu dijalankan. Sudah tentu saya perlu mencari lokasi dan tapak yang sesuai untuk mengadakan pameran. Membuat beberapa kali perbincangan dan pertemuan bagi mengesahkan kehadiran saya dan pasukan untuk menjalan aktiviti pameran dan jualan buku.

Proses yang sangat genting ialah memilih tajuk-tajuk buku yang sesuai untuk dijual. Syukur alhamdulillah, dengan hasil bantuan dan pengalaman luas Tuan Zaharin Mohamad Zain, Pengurus Jualan, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. saya dapat menimba banyak ilmu daripada beliau. Atas nasihat beliau, saya ikut dan belajar. Saya gelarkan beliau 'otai buku'. Terima kasih Tuan Zaharin.

Seterusnya, saya perlu pastikan buku-buku sudah siap dipilih dan dimasukkan ke dalam kotak. Menentukan siapa pemandu yang akan membawa kotak-kotak buku pameran ini adalah keputusan yang 'menguji minda'. Saya selesa berbincang dengan Tuan Amir kerana beliau memang pakar menentukan siapa pemandu yang bakal membawa kotak-kotak buku pameran.

Peralatan dan kelengkapan pameran mesti disiapkan supaya boleh dibawa bersama kotak-kotak buku.

Proses semasa terus berlangsung sebaik sahaja kotak-kotak buku tiba di tapak pameran. Menyusun meja, menghias lokasi pameran, mencari punca sumber bekalan elektrik amat penting.

Lantas, aktiviti menjual dan membeli terus berlangsung, walaupun buku-buku masih belum siap disusun sepenuhnya. Suasana begini adalah lumrah di mana-mana sahaja, saya menguruskan aktiviti pameran dan jualan buku.

Buat masa sekarang saya sudah menjalankan lapan lokasi yang berbeza untuk pameran dan jualan buku-buku PTS. Antaranya adalah seperti berikut:

1) Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu, Kuala Lumpur (14 Jan dan 11 Feb 2011)
2) Masjid Abu Bakar, Bangsar, Kuala Lumpur. (20 Jan 2011)
3) Mutiara Armada, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak. (23-29 Jan 2011)
4) Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor. (30 Jan 2011)
5) Dewan Meranti, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. (10 Feb 2011)
6) Masjid Al Mujahideen, Damansara Utama, Petaling Jaya. (15 Feb 2011)
7) Perpustakaan CILLC, CELPAD, UIAM, Gombak, Selangor. (17 dan 18 Feb 2011)
8) Karnival Putra Heights, Seksyen 9, Putra Heights, Subang Jaya. (19 dan 20 Feb 2011)

Langkah seterusnya ialah melengkapkan siri 100 kali jelajah pameran dan jualan buku di pelbagai lokasi lain di Malaysia,

Insya'Allah, saya akan sambung lagi.

Salam sayang dan rindu daripada saya.
Wahyudi bin Haji Mohd Yatim