Thursday, November 19, 2009

Standard Dalam Bidang Baru Perlu Terus Dikenalpasti Dan Dibangunkan

BANGI, 19 Nov (Bernama) -- Jabatan Standard Malaysia perlu mengenalpasti dan membangunkan standard dalam bidang-bidang baru terutamanya yang mempunyai nilai komersial yang tinggi secara berterusan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi menyokong hasrat negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi.

"Antara bidang yang semakin mendapat perhatian dalam pembangunan standard di Malaysia ialah Halal, Nanoteknologi, bioteknologi, keselamatan maklumat, keselamatan makanan, alat-alat peranti perubatan, produk-produk dalam sektor binaan dan pemuliharaan sarang burung walit," katanya pada majlis Anugerah Standard dan Akreditasi Kebangsaan di sini pada Khamis.

Katanya bagi menyokong dasar kerajaan ke arah pembangunan ekonomi dan sosial negara menjelang tahun 2020, Strategi dan Pelan Tindakan Standard Kebangsaan telah dirangka dengan menetapkan keperluan untuk membangunkan sejumlah 6,000 Standard Malaysia yang relevan kepada pasaran semasa.

"Saya difahamkan sehingga 30 September lalu, sebanyak 5,655 (94.25 peratus) Standard Malaysia telah berjaya dibangunkan dalam pelbagai bidang.

"Ini bermakna Jabatan Standard Malaysia hanya memerlukan sekurang-kurangnya 345 standard lagi bagi mencapai sasaran tersebut," katanya.

Pada majlis itu, Maximus menyampaikan anugerah kepada sembilan penerima Anugerah Standard dan Akreditasi pada tahun ini, terdiri daripada individu-individu yang banyak memberikan sumbangan dalam aktiviti standardisasi dan akreditasi negara.

Beliau turut menyampaikan sijil akreditasi kepada 37 makmal dan tiga badan pensijilan yang berjaya diakredit di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia dan Skim Akreditasi Badan Pensijilan.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Standard Malaysia dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) bagi mempertingkatkan hubungan kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan antara kedua-dua agensi.

-- BERNAMA