Tuesday, September 1, 2009

BUDAYA MEMBACA BOLEH DIWARISI


Budaya membaca sememangnya budaya yang memberikan impak yang positif terutamanya kepada individu yang mengamalkan budaya ini. Selain memenuhi masa lapang, ia juga dapat memberikan pengetahuan baru kepada si pembaca. Ini kerana melalui pembacaan sesebuah buku, sudah pasti akan ada sahaja pengetahuan yang tidak diketahui oleh pembaca. Tidak kiralah sama ada pembaca sememangnya membaca untuk mencari sesuatu fakta atau pengetahuaan yang tidak diketahuinya, ataupun secara kebetulan menemukan sesuatu pengetahuan tersebut hasil pembacaannya.

Budaya membaca ini pada pendapat saya boleh diwarisi dalam keluarga. Maksudnya, apabila seorang ibu atau ayah yang memang gemar membaca apa sahaja dan ditunjukkan di hadapan anak-anak, besar kemungkinan ia akan mempengaruhi anak-anak itu untuk membaca juga. Anak-anak menjadikan orang yang dewasa sebagai 'role model' mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh golongan dewasa ingin ditiru oleh kanak-kanak kerana mereka berpegang teguh pada tanggapan 'orang dewasa hebat, sentiasa betul dan bagus'. Sebagai galakan, ibu bapa perlu membelikan sekurang-kurangnya sebuah buku dalam sebulan atau sebuah buku dalam seminggu. Tidak kira apa sahaja buku, ia perlu dipupuk seawal umur anak 3 tahun.

Keluarga yang sentiasa gemar membaca, pasti tidak keseorangan kerana akan ada pewarisnya. Jika tidak seorang, pasti ada dua orang atau lebih ahli keluarga yang mempunyai hobi dan minat yang sama. Jelas di sini, budaya membaca di kalangan keluarga boleh dipupuk dari kecil agar dapat diwarisi dan sentiasa berkekalan bagi memastikan insan yang cintakan ilmu pengetahuan sentiasa ada dan tidak pupus ditelan arus kecanggihan teknologi tanpa sempadan.

1 comment:

Unknown said...

boleh ke membaca..
hahaha

Post a Comment